KESEDARAN POLITIK DALAM KALANGAN ANAK MUDA DI SABAH
Siapakah yang dikatakan anak muda? Anak muda ialah satu istilah dalam Kamus Besar Indonesia yang membawa konotasi orang yang masih muda. Terdapat tiga maksud yang sinonim bagi diksi “anak”muda” dalam kamus ini iaitu pertama, anak yang ke enam dalam adik beradik, kedua orang yang masih muda dan ketiga pemuda. Di Malaysia “Anak Muda’ biasanya bermaksud golongan belia. Kamus Dewan mendefinisikan belia sebagai orang yang sudah akil baligh, dan belum tua, atau orang yang masih muda atau muda remaja, pemuda atau pemudi. Mereka juga disebut sebagai golongan yang secara keseluruhannya, sama ada lelaki mahupun wanita, atau belia, berada dalam lingkungan usia antara lapan belas tahun hingga empat puluh tahun.
Menurut Wikipedia, belia ialah fasa di antara kanak-kanak dan dewasa. Istilah atau diksi “Belia” juga sering ditukar ganti antara istilah atau diksi “remaja” atau “Pemuda” tetapi semuanya membawa konotasi yang sama, iaitu merujuk “Golongan belia” meskipun sesekali membawa maksud berbeza-beza mengikut peringkat umur. Seterusnya, golongan ini merupakan teras penting yang menggambarkan kewujudan sesebuah negara pada masa hadapan. Had umur golongan muda sebenarnya berbeza-beza di seluruh dunia. Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkategorikan belia sebagai mereka yang berumur di antara 19 hingga 29 tahun. Bank Dunia pula mengkategorikan “Belia” golongan mereka yang berumur antara 15 hingga 25 tahun. Manakala Program Belia Komanwel pula mendefinisikan belia sebagai orang muda yang berumur di antara 19 hingga 29 tahun. Di Malaysia golongan “belia” ditafsirkan atau merujuk kepada seseorang yang berumur di antara 16 hingga 30 tahun.
Terdapat beberapa buah Gerakan belia yang aktif dan berpengaruh di Malaysia, antaranya ialah Briged Putera Malaysia, Brigade Puteri Malaysia, Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gerakan Belia 4B Malaysia, Gerakan Belia Bersatu Malaysia, Junior Chamber Malaysia, Majlis Belia Felda Malaysia, Pergerakan Pemuda Malaysia, Persatuan Asrama Belia Malaysia, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Persatuan Pengakap Malaysia, Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak, St. John Ambulans Malaysia, Majlis Belia Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terangganu, Kelantan, Sabah dan wilayah Persekutuan.
Terdapat juga persatuan atau pertubuhan belia yang dikaitkan atau berasaskan suku kaum, etnik dan agama, seperti pertubuhan Al-Jam’yyah Al Khairiyah, Angkatan Belia Islam Malaysia, Persatuan Belia Buddhist Malaysia, Persatuan Pemuda Kristian (YMCA), Persatuan Belia Sikh Malaysia, Pergerakan Belia India Muslim, Persatuan Belia Thai Malaysia, Majlis Kelab Belia India Malaysia, Persaudaraan Belia Methodist Malaysia, Majlis Kelab Belia-Belia Tamil Malaysia (KBBT), Persatuan Pelajar Islam dan beberapa buah persatuan atau pertubuhan belia lagi.
Jika diteliti secara terperinci senarai persatuan atau pertubuhan belia yang dinyatakan itu, hanya satu pertubuhan yang amat popular dan mempunyai identiti Sabah iaitu Majlis Belia Sabah, selebihnya hanya persatuan atau pertubuhan belia yang mempunyai cawangan atau cabang di Sabah seperti Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Persatuan Pengakap Malaysia, St. John Ambulans Malaysia,(sekadar ,menyebut beberapa buah persatuan atau pertubuhan belia). Tetapi apa yang jelas ialah Sabah belum mempunyai persatuan belia berasaskan kaum misalnya Persatuan Belia Kadazandusun Sabah, Persatuan Belia Bajau Bersatu Sabah, Persatuan Belia Bisaya Bersatu Sabah atau Persatuan Murut Sabah dan sebagainya. Malah kita sama sekali tidak mempunyai persatuan belia berasaskan entiti politik tertentu, walaupun setiap parti politik mempunyai sayap belia dan beliawanis, putera dan puteri, wira dan wirawati, atau armada pemuda dan pemudi masing-masing.
Justeru, dapat dirumuskan kesedaran anak muda dalam konteks persatuan atau penubuhan Gerakan belia berasaskan kaum atau berasaskan entiti politik tertentu di Sabah ini belum begitu menonjol, manakala belia yang terlibat dalam majlis belia Sabah misalnya, ternyata lebih fokus kepada aktiviti belia yang melaksanakan program senada dengan aspirasi kerajaan, atau lebih tepat lagi mereka adalah rakan kongsi kerajaan dalam membangunkan belia dalam pelbagai segi, terutama dari segi pemikiran dan tindakan, kerana mereka dibiayai oleh kerajaan dalam melaksanakan program yang mereka rancang. Hal ini juga berlaku kerana semua pertubuhan belia tanpa diskriminasi, anutan agama, bangsa dan kaum mesti menjalankan aktivi selaras dengan dasar, prinsip dan falsafah kerajaan dalam membangunkan negara, atau menyatupadukan rakyat, bangsa dan negara. Jika sekiranya semasa menerajui atau aktif dalam pertubuhan, persatuan atau gerakan belia ini, akhirnya timbul atau muncul minat dalam politik, maka prinsip politik itu juga mesti mengambil kira kepentingan pembangunan rakyat dan negara, konsep menyatupadaukan rakyat yang multi etnik, bersifat plural atau majmuk di negara ini.
Berbincang dan berhujah tentang kesedaran politik anak muda di Sabah atau kegairahan golongan belia terhadap politik, bukan sesuatu yang baru berlaku di negeri ini, apatah lagi pada zaman internet dan semua berita dan info mudah diakses di media sosial di seluruh dunia. Malah, media sosial bukan sahaja menjadi medium perhubungan masyarakat dunia kini, tetapi menjadi alat bagi mendapatkan sumber dan bahan untuk mengikuti perkembangan semasa sesuatu isu yang hangat diperkatakan. Benar atau tidak berita yang tersebar di media sosial itu adalah persoalan lain. Masyarakat sendiri, khususnya golongan belia yang menentukan sama ada mempercayainya bulat-bulat atau tidak. Tepuk dada dan tanyalah selera.
Namun, pernahkah kita melihat golongan belia yang begitu membenci politik dan langsung tidak mengambil tahu tentang dunia politik di negara ini? Hal ini mungkin ada kaitan dengan struktur politik itu sendiri dan tindakan politik yang tidak menyebelahi anak muda atau tidak sealiran dengan aspresiasi anak muda. Sebab itu ada kalanya kita melihat, mereka hampir termuntah ketika mendengar cerita tentang politik, apa lagi ketika institusi politik itu tidak banyak melakukan program yang membina kesedaran anak muda terhadap pelbagai isu semasa yang sebenarnya membelenggu golongan muda ini, misalnya tiadanya inisiatif terhadap anak muda yang benar-benar dapat dilihat membela anak muda. Sebagai contoh dalam isu kenaikan harga barang di pasaran, kenaikan harga minyak atau jalan raya yang rosak dan berlubang-lubang yang tidak diselenggarakan, banyak kes rasuah dalam institusi politik dan agensi kerajaan, membuatkan golongan muda semakin menyampah dengan politik atau apa juga yang sinonim dengannya. Maka, tidak hairan, golongan belia atau anak muda ini sering sahaja merungut dan mengkritik sistem, institusi politik dan pemimpin tanpa usul periksa.
Apabila seseorang itu terutamanya generasi muda membenci politik dan langsung tidak mengambil tahu tentang dunia politik di negaranya, maka bertambahlah peratusan mereka yang tidak mengenali barisan pemimpin yang ada di negara ini. Malah, mereka tidak mengenali wakil rakyat yang mewakili kawasannya. Apakah sikap mereka itu menyebabkan mereka boleh dilabelkan sebagai katak di bawah tempurung. Siapakah yang bersalah dan wajar dipersalahkan dalam hal ini, golongan belia itu sendiri atau institusi politik yang lebih dominan dengan perjuangan golongan tua, manakala golongan anak muda di anak tirikan?
Sesungguhnya kesedaran politik itu tidak semestinya dilihat dalam konteks golongan belia perlu terlibat dalam mana-mana kumpulan yang berkaitan politik. Apa yang penting ialah kesedaran politik yang menyeluruh, yang sepatutnya memberi kefahaman kepada mereka terhadap hak untuk bersuara dan menentukan keputusan dan masa depan rakyat dan negara ini. Sama ada kita mahu politik negara ini dikemudi oleh kumpulan A atau B, itu adalah persoalan lain. Sebaliknya, apa yang penting ialah golongan belia ini mesti terlibat dalam menentukan masa depan rakyat dan negara. Malah, mereka juga mesti mendapat sesuatu yang bermakna dalam perjuangan mereka itu.
Memang benar, ada sebahagian masyarakat yang mengatakan politik adalah permainan untuk mereka yang sudah berusia atau dalam erti kata yang lain bukan golongan belia. Namun, pernahkah kita memikirkan jika kebencian golongan muda terhadap politik itu terus menyala-nyala hingga ke hari tua, sudah pasti politik negara ini akan diisi oleh mereka yang tidak prihatin terhadap prinsip keadilan, kemanusiaan dan malah tidak amanah dan tidak berkhidmat penuh integriti kepada rakyat dan negara. Justeru itu kita semua harus berfikiran positif dan sama sekali jangan melepaskan tangan untuk tidak mengambil tahu tentang kesedaran politik dalam kalangan belia. Pada masa yang sama golongan belia juga mesti menubuhkan pelbagai pertubuhan belia yang fungsinya untuk memperjuangkan golongan belia sama ada dari segi politik, ekonomi, budaya, kepentingan kaum masing-masing dan agama sebelum mereka terjun ke dalam kancah politik, supaya mereka dapat bertindak lebih baik jika aktif dalam politik dan menjadi pemimpin selepas itu. Sesungguhnya, golongan belia atau “anak muda” adalah teras dan masa depan negara. Inilah kata-kata yang tepat dan mempunyai konotasi dan misinya yang murni. Tindakan kita terhadap belia hari ini sudah pasti bakal menentukan hala tuju golongan belia kita pada masa hadapan dan bukan menghancurkan mereka seterusnya melemahkan bangsa dan negara, yang bakal diwariskan kepada mereka di kemudian hari itu.
Rujukan
Lihat prpm.dbp.gov.my
Lihat ms.m.wikipedia.org
Comments
Post a Comment