Cerita sang pemburu dan penghuni hutan belantara. (Cerpen Edward Solibi)
“Aku adalah pemburu dan aku mahu mendapatkan sesuatu dari kalian. Aku tidak akan pulang dengan tangan kosong. Seluruh kaumku akan memperkecilkan aku sekiranya aku pulang dengan tangan kosong”. Kata sang pemburu yang memasuki hutan belantara itu. Belantara yang jauh dari pinggir kota, dipenuhi hutan tebal dan pepohonnya pula tinggi beratus meter memanjat awan. Pohon itu juga berdiri kukuh, dan usianya juga mungkin sudah ratusan tahun, dan belum pernah diterokai manusia. Ada yang berkata, banyak benda dan peristiwa ghaib atau pelik berlaku di dalam hutan belentara itu. Terdapat juga binatang buas yang kononnya mampu berkomunikasi dalam bahasa manusia. Binatang buas itu dikatakan mampu meniru bunyi dan suara manusia. Sebab itu tidak ada manusia yang berani memasuki hutan belantara itu. Unggas dan cangkerik yang hidup di dalamnya juga sebesar ibu jari dan mengeluarkan bunyi yang menyeramkan.
“Kau tidak akan dapat mengambil dan merampas apa-apa dari tempat ini wahai manusia! Kerana akulah yang berkuasa di sini”. Kata seekor monyet yang sedang bergayut pada sebatang dahan pohon yang sebesar paha manusia.
“Ohhh kau ketua di tempat ini ya?”. Tanya sang pemburu itu yang memegang erat selaras senapang yang sudah diisikan dengan peluru.
“Ya kenapa? Akulah ketua segala ketua dan penghulu segala penghulu di tempat ini. Semua binatang yang tinggal di dalam hutan ini takut denganku. Aku telah melantik beberapa jenis binatang dengan tugasan masing-masing di tempat ini”. Kata monyet itu dengan penuh angkuh.
Semua binatang yang tinggal di dalam belantara itu hanya diam dan tidak berkata apa-apa. Mereka hanya memerhatikan sang pemburu dan monyet itu bertikam lidah.
“Aku telah melantik gajah-gajah yang besar dan gagah untuk memantau kawasan ini dari udara dan melantik beburung untuk memantau kawasan dasar sungai. Aku juga melantik monyet-monyet lain sebagai dayang dan pengawalku”. Kata monyet itu dengan girang.
“Bagaimana mungkin kau melantik gajah menjadi pemantau kawasan ini dari udara, sedangkan gajah tidak mampu terbang? Beburung tidak mampu berenang dan menyelam ke dasar sungai. Kau hanya memajukan kaum dan spesismu. Begitu banyak yang sesuai dengan kemahiran mereka masing-masing. Hanya kau yang pura-pura buta wahai monyet”. Kata sang pemburu yang tidak bersetuju dengan tindakan si monyet itu.
Mereka terus bertikam lidah hingga menjelang senja. Namun tiada penyelesaiannya. Akhirnya kumpulan monyet-monyet itu bergayut dari dahan ke dahan dan hilang dari pandangan. Tinggallah sang pemburu bersama binatang yang lain. Binatang-binatang lain seperti rusa, gajah, harimau, dan banyak lagi, hanya memberikan tepukan gemuruh kepada si pemburu. Ada yang bersorak riang gembira.
“Monyet-monyet di belantara ini memang angkuh dan berlagak sombong. Mereka sesuka hati mengaku merekalah yang berkuasa. Sedangkan semasa pemilihan ketua mereka menggunakan taktik yang kotor. Ramai penghuni belantara ini yang tidak berpuas hati dengan tindakan mereka. Mereka hanya mementingkan diri sendiri dan memajukan kaum spesis sendiri”. Luah seekor tupai yang baru melompat dari dahan untuk menyertai sang pemburu dan binatang lain yang sedang rancak berbual.
“Ya betul. Kami tidak begitu suka dengan cara mereka. Mereka hanya mengenyangkan perut dan membasahkan tekak kaum dan spesis mereka. Sedangkan kami hanya penghuni terus tinggal di tengah hutan belantara ini dan diabaikan”. Tambah seekor ular yang sedang melilitkan tubuhnya pada tanduk seekor rusa yang bercabang seperti ranting kayu itu.
“Bawa bertenang dan bersabarlah kalian semua. Hal ini kita selesaikan dengan akal fikiran waras dan penuh kebijaksanaan. Aku sebagai manusia harus menggunakan akal fikir yang waras dengan sewajarnya”. Kata sang pemburu itu dengan penuh semangat. Dia yang berpendidikan tinggi, lulusan sebuah universiti tempatan di ibu kota yang tidak lokek dengan ilmu, Malah tidak pernah berlagak sombong. Ya, dia bukan seorang yang sombong. Dia tidak sombong! Malah dia sangat benci kepada penindasan sesuatu kaum mahu pun manusia tanpa ada nilai kemanusiaan tersemat di dalam diri. Baginya, manusia dilahirkan untuk membantu sesama hidupan yang ada di muka bumi dan bukan sebaliknya.
“Yang penting malam ini aku menemani kamu tidur”. Kata seekor harimau dahan yang berbuluh gelap dan matanya bersinar terkena sinaran cahaya matahari yang kian terbenam.
“Aku juga ingin menemanimu tidur!”. Tambah seekor burung gagak.
“Aku juga!”. Kata seekor sesumpah dan burung hantu serentak penuh semangat.
“Alang-alang kita tidur bermalam bersama-sama”. Jawab sang pemburu yang duduk lalu bersandar pada banir sebatang pohon yang besar. Sambil menyandarkan senapangnya,sang pemburu itu tidak jadi memburu atau mengambil apa-apa pun dari belantara itu. Apatah lagi menganggap dirinya sebagai penceroboh setelah binatang-binatang lain yang menghuni belantara itu menganggapnya sebagai sahabat. Dia berjanji akan membantu menyelesaikan masalah yang mereka sedang hadapi di kawasan belantara itu. Binatang-binatang lain selain monyet yang ada di belantara itu pun mengambil tempat dan mencari posisi masing-masing untuk tidur menemani si pemburu itu.
Seawal pagi lagi sang pemburu sudah terjaga dan pergi ke sebatang sungai untuk membasahkan muka. Dia yang terjaga dengan bunyi beburung yang berkicauan seolah menari di sebalik dedaun dan ranting itu pun meninjau di sekitar belantara. Masih terdapat banyak pokok-pokok balak yang belum diusik oleh manusia. Mungkin kerana tempat itu begitu jauh dari kota. Tambahan pula keadaan bentuk muka bumi di kawasan itu yang sangat bahaya. Hanya terdapat beberapa kepatahan dahan dan arnting pepohon yang tinggi itu. Mungkin dipatahkan oleh binatang buas yang tinggal di belantara itu, atau dipatahkan oleh tiupan angin dan ribut yang kuat.
“Monyet yang angkuh dan mengaku ketua itu hanya tahu merosakkan beberapa struktur alam semulajadi di belantara ini. Mereka tidak menjaga belantara ini dengan baik apatah lagi binatang lain yang tinggal di belantara ini. Mereka hanya tahu berpesta dan menaikkan kaum spesis mereka sendiri”. Kata seekor beruang yang baru turun dari sebatang pohon jati.
“Ya betul. Mereka hanya melantik dan memberi jawatan mahu pun kuasa kepada kaum spesis mereka sendiri sedangkan yang dilantik itu belum tentu layak. Masih begitu banyak binatang di belantara ini yang layak tetapi tidak dipandang”. Kata sang kancil pula.
“Kaum spesis mereka sudah banyak yang hidup senang lenang dan tidak perlu ke hulu ke hilir mencari makan, kerana segala sumber makanan yang ada di belantara ini dimonopoli oleh mereka. Walaupun ketua berganti-ganti namun semuanya sama. Mereka yang berada di peringkat bawahan hanya akan menaikkan kaum spesis mereka sendiri”. Tambah seekor sang kancil lagi.
“Kita mesti bersatu untuk melakukan sesuatu agar monyet yang angkuh bersama konco-konconya itu tidak terus berkuasa dan menindas binatang lain yang ada di belantara ini. Mereka tidak boleh dibiarkan terus berkuasa dengan cara yang kotor”. Jawab sang pemburu yang sedang menikmati buah-buahan yang dibawa oleh beberapa ekor beruang itu.
Mereka sedang duduk menikmati makanan di pagi yang cerah berbumbungkan langit membiru. Hanya ada beberapa tompokkan awan putih di langit. Mereka merancang akan pergi berjumpa dengan monyet-monyet itu untuk membuat pemilihan ketua di belantara tersebut. Malangnya, monyet-monyet itu pula sangat sensitif. Pantang ditegur sedikit sudah melenting. Hanya inginkan puji-pujian dan sembah puja. Yang menentang mahu pun yang tidak menyokong mereka pula tidak dibenarkan bersuara. Sungguh tidak adil dan angkuh. Mereka telah lupa dan alpa dengan kuasa dan kehidupan senang lenang sehingga menindas kaum spesis lain yang terdapat di belantara itu.
Selesai menikmati buah-buahan bersama, sang pemburu itu pun berjalan beramai-ramai dengan binatang lain untuk pergi ke tempat monyet-monyet itu selalu berkumpul. Dengan penuh semangat, mereka bersatu membawa suara mereka untuk menuntut pembelaan dan kebenaran yang sewajarnya. Sambil berjalan mereka melaungkan, “Buat undian penghulu! Buat Undian Penghulu!”.
Monyet-monyet dan binatang lain yang sedang duduk bersantai menikmati makanan yang enak-enak itu bertempiaran lari. Hanya yang tinggal beberapa ekor monyet bersama si ketua monyet yang angkuh itu.
“Untuk apa kalian datang ke tempat ini beramai-ramai dengan membuat bising dan kekecohan seperti ini?”. Tanya monyet itu.
“Kami datang untuk menuntut hak kami. Kami ingin ketua atau penghulu di belantara ini dibuat secara undian yang sah dan telus. Kami mahu undian dijalankan dengan bersih dan amanah”. Jawab seekor rusa dengan nada suara yang tegas dan bersemangat.
“Ahhhh sudah, kalian pulang saja. Aku yang berkuasa di tempat ini. Aku sudah diundi dan dipilih oleh seluruh penghuni belantara ini. Kamu si pemburu, pulanglah ke kota dan tempat asalmu. Jangan mencampuri urusan kami di belantara ini”. Jawab si monyet dengan begitu sombong.
“Aku tidak akan pulang. Memang aku tidak berhak mencampuri urusan kamu di belantara ini. Tapi aku adalah manusia yang punya naluri hati dan kemanusiaan untuk membantu sesiapa sahaja yang sedang dalam kesusahan mahu pun dilanda masalah. Aku ada akal fikiran untuk menegakkan kebenaran. Aku kenal, mana yang baik dan mana yang buruk”. Jawab sang pemburu itu dengan nada yang tenang tanpa beremosi.
“Jika kau seorang monyet yang bijaksana dan kau ketua atau penghulu yang adil saksama, kau dengarlah suara rintihan binatang-binatang lain yang ada di dalam hutan belantara ini. Jangan kau sesuka hati bertindak tanpa perasaan dan tanpa memikirkan keadilan”. Tambahnya lagi.
Monyet yang angkuh dan berlagak sombong itu pun bersetuju agar undian memilih ketua dijalankan. Undian kali ini dijalankan dengan melantik beberapa ekor monyet dipihaknya dan beberapa ekor binatang lain hanya menjadi pemerhati agar tiada unsur-unsur rasuah, penupuan yang licik, tingkah kotor dan segala taktik yang melanggar amanah dan menyelahi undang-undang. Proses pengundian dijalankan dengan begitu lancar. Monyet bersaing dengan gajah untuk diundi siapa yang akan menjadi ketua di hutan belantara ini. Bagi yang memilih si monyet sebagai ketua, binatang lain akan memasukkan daun ke dalam tempat undi iaitu sebuah tunggul kayu yang tengahnya berlubang ditebuk anai-anai. Bagi yang memilih gajah pula, mereka memasukkan dahan dan ranting pohon yang dipotong pendek lebih kurang dua inci ke dalam tempat undi yang disediakan oleh beberapa ekor tupai dan beruang yang dilantik menjadi pembantu sepanjang proses pengundian itu dijalankan.
Selesai proses pengundian itu dijalankan, proses pengiraan pula dijalankan. Proses pengiraan itu dibuat dan dijalankan di hadapan binatang lain tidak kira di pihak mana yang bertanding. Setelah keputusan diperolehi, ternyata keputusan itu berpihak kepada si gajah dan diundi sebagai ketua di hutan belantara itu. Binatang-binatang lain sangat gembira dengan keputusan itu. Begitu juga dengan sang pemburu.
Pada mulanya, si monyet yang kalah dalam pengundian itu sangat marah dan tidak dapat menerima keputusan sehingga dia merekrut monyet-monyet lain dan beberapa ekor binatang lain untuk melakukan pemberontakkan dan penentangan terhadap keputusan itu. Namun, keputusan itu adalah muktamad dan tidak dapat diubah lagi kerana ia mengikut lunas undang-undang yang dipersetujui bersama, malah mengikut suara dan kehendak para penghuni di hutan belantara itu. Keputusan itu sesungguhnya mengikut hak asasi penghuni yang telah memilih ketua mereka mengikut pilihan hati masing-masing.
Walaupun keputusan itu berpihak kepada si gajah, namun ia tetap tidak pilih kasih dalam memilih dan melantik binatang lain untuk menjalankan tugas dan memegang jawatan tertentu. Gajah melantik yang benar-benar layak sahaja mengikut bakat dan kemahiran masing-masing. Beburung yang pandai terbang, dilantik sebagai pengawal yang meninjau kawasan hutan belantara itu dari udara. Ikan-ikan yang pandai berenang dilantik sebagai peninjau kawasan dasar sungai. Monyet-monyet pula tetap tidak diabaikan. Mereka dilantik sebagai penjaga buah-buahan dan keadaan pokok yang subur atau tidak di hutan belantara itu.
Sang pemburu itu pun gembira dengan kehidupan baharu mereka yang aman damai dan harmoni itu. Mereka hidup penuh rukun secara bersama. Akhirnya dia memulakan langkah untuk kembali ke kota raya selepas semua binatang-binatang yang menghuni hutan belantara itu mengucapkan jutaan terima kasih kepadanya. Dia akan membawa pengalamannya yang membawa perdamaian di tengah hutan belantara itu kepada alam dunianya pula, iaitu dunia manusia. Malah dalam konteks hubungan manusia sesama manusia. Semoga dia berjaya membawa perdamaian yang akan kekal selama-selamanya di dalam hati nurani setiap makhluk yang bernama manusia.
Catatan: Cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Harian Ekspres pada 24 November 2019.
Comments
Post a Comment